Srikandi Islam: Rabiatul Adawiyyah
Saya yakin dan percaya ramai di kalangan kita pernah
mendengar nama srikandi Islam Rabiatul Adawiyah. Namun begitu, siapakah
sebenarnya beliau? Mari kita selusuri perjalanan hidup Rabiatul Adawiyah dan sama-sama mengambil pelajaran dari kisah ini.
Rabiah ialah anak keempat dalam satu keluarga miskin, beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat patuh dan taat pada agama, sukakan kebaikan dan sentiasa berdamping diri dengan al-Quran. Ayahnya seorang yang warak, suka memenuhi waktu lapang dengan membaca al-Quran, memperbanyakkan sembahyang sunat dan hati tidak lekang dari berzikir mengingati Allah swt.
Rabiah merupakan anak bongsu dan selalu berdamping dengan
segala program yang dilakukan oleh bapanya. Perangai Rabiah sangat berbeza dari
adik beradiknya yang lain. Sejak kecil beliau telah dapat menghafaz al-Quran.
Beliau sentiasa tenang dan tidak gopoh apabila melakukan sesuatu pekerjaan.
Bila waktu makan, beliau hanya makan sedikit dan berhenti sebelum kenyang.
Rabiah selalu mengingatkan ayahnya supaya mengawasi dari memberi makanan yang
syubhat lebih-lebih lagi yang haram kepadanya.
“Wahai ayah, lebih baik bersabar kerana lapar di dunia
daripada bersabar terhadap azab Allah swt di akhirat.”
Dari keistimewaan yang terdapat padanya serta tingkah lakunya
yang luar biasa sejak kecil itu ternyata bahawa suatu hari nanti Rabiah akan
menjadi salah seorang di antara kekasih-kekasih Allah swt. Walau bagaimanapun, untuk
mencapai darjat yang tinggi itu beliau telah menghadapi berbagai ujian dan
penderitaan dalam hidup. Allah swt tidak akan mengangkat darjat seseorang
dengan mudah tanpa diuji terlebih dahulu. Seperti yang termaktub di dalam surah
al-Ankabut ayat 2-3:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan
dengan hanya berkata, “Kami beriman”, sedangkan mereka tidak diuji (dengan
sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang
terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang
diketahui oleh Allah swt tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan
nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”
[Surah al Ankabut: 2-3]
Ujian pertama yang ditempuh oleh Rabiah ialah ayahnya
meninggal dunia dalam usianya yang masih muda, ibunya pula menyusul tidak lama
selepas itu. Ini menyebabkan beliau terpaksa berpisah dengan adik-beradiknya
yang lain. Tinggallah Rabiah yatim piatu sebatang kara tanpa saudara mara
tempat mengadu dan bergantung hidup. Ini membuatkan beliau sedar dan insaf
bahawa ujian yng Allah swt timpakan adalah untuk mengajarnya agar tidak
bergantung dengan makhluk yang lain kecuali Allah. Allah lah tempat mengadu dan
Allah jugalah yang menjadi hiburan dan tempat mengharap kasih-sayang.
Tidak berapa lama kemudian, bandar Basrah tempat tinggalnya
telah dilanda musim kemarau yang sangat teruk dan berakhir dengan kebuluran dan
kemusnahan. Ini membuatkan Rabiah terpaksa berhijrah ke tempat lain yang lebih selamat. Sewaktu menumpang dalam
satu kafilah, tanpa disangka-sangka
kafilah mereka telah diserang oleh perompak. Ketua perompak itu telah menangkap Rabiah untuk
dijadikan barang rampasan dan beliau
telah dijual di pasar sebagai hamba abdi.
Kini beliau terikat dan berkhidmat pula dengan seorang tuan
yang baru. Siang hari terpaksa bekerja
kuat, membanting tulang empat keratnya mengangkat air, mengemas serta mengurus rumah. Namun
begitu, walaupun keletihan, di malam
hari, tetap digunakan untuk bermunajat dan beribadah kepada Allah. Dia sedar masa yang Allah kurniakan
sangat berharga kepada hamba-hamba-Nya
yang mahu berfikir.
Pada suatu malam secara tidak sengaja tuannya telah
terdengar suara rayuan dan munajat
Rabiah kepada Allah. Ia bangun bertahajud di kala orang lain sedang enak tidur dibuai oleh
mimpi-mimpi indah. Dengan penuh linangan
air mata, Rabiah bercakap-cakap dengan Allah, katanya:
“Tuhanku, Engkau lebih mengetahui bagaimana aku cenderung benar hendak
melakukan perintah-perintahMu dan
menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku akan habiskan seluruh masa malamku
dan siangku dengan melakukan ibadat
padaMu. Tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia.”
Tiba-tiba bilik Rabiah diterangi cahaya yang
terang-benderang sedangkan dalam bilik
itu tidak ada pelita atau lampu. Ini membuatkan tuannya sedar dan insaf akan kesalahannya kerana
tidak membebaskan orang yang begitu
hampir dan cinta kepada Allah.
Keesokan harinya, pergilah tuannya berjumpa dengan Rabiah
dan memberitahu bahawa ia menyesal
kerana memperhambakan Rabiah selama ini
bahkan dia pula bersedia untuk menjadi hamba kepada Rabiah.
Mendengar itu Rabiah merasa terharu. Dia
lebih rela meninggalkan rumah itu dan
mengasingkan diri dengan beruzlah serta bertaqarub kepada Allah.
Akhirnya, Rabiah Al Adawiyah kembali menumpukan sepenuh perhatian
untuk beribadah dan memuji-muji Allah,
mencurahkan harapan dan isi hatinya
kepada Allah. Dia cintakan Allah sepenuh jiwa dan perasaannya. Dia sedar
hanya Allah sahaja yang layak dicintai
dan dirindui serta dipuja dan hanya Allah
yang mempunvai sifat-sifat yang lengkap untuk dipuji.
Berbagai karamah (kelebihan) yang Allah kurniakan padanya dalam
pengalaman kerohanian yang dilaluinya.
Di antaranya, pada suatu ketika Hassan Al
Basri mengajak Rabiah berbincang mengenai hal-hal kerohanian yang dilaluinya di atas air tasik. Beliau berkata
begitu dengan niat hendak menunjukkan
kelebihannya kepada orang lain yang ia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa boleh berjaian di atas
air). Rabiah Al Adawiyah berkata:
“Hassan, buanglah perkara yang sia-sia itu jika kamu benar-benar hendak memisahkan diri
dari perhimpunan Allah. Kenapa kita tidak terbang saja di udara?”
Rabiah Al Adawiyah berkata sedemikian kerana dia boleh berbuat demikian dan itulah
salah satu karamah yang Allah kurniakan
kepada beliau tetapi Hassan tidak boleh berbuat seperti itu. Rabiah berkata lagi:
“Ketahuilah bahawa apa sahaja yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan inikan
aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari
perkara luar biasa itu. Carilah ianya
dalam ketaatan dan sopan santun terhadap Allah.”
Cintakan makhluk pada pendapat Rabiah Al Adawiyah tidak akan
mewujudkan kebahagiaan yang abadi untuk
seorang insan kerana ia tidak kekal. Cintakan makhluk seringkali membuatkan
seseorang itu kecewa, merana, menderita dan terseksa. Oleh itu, tidak ada suatu cinta pun yang
dapat membuahkan kebahagiaan dan
kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada Pencipta makhluk itu sendiri. Bahkan Rabiah Al Adawiyah
sentiasa menangis. Air matanya terlalu
mudah tumpah walaupun kesalahan yang dilakukan tidaklah seberat mana, cuma lalai atau lupa pada Allah sedetik
sahaja tetapi dirasakan terlalu besar dosanya.
Ada orang bertanya kenapa Rabiah Al Adawiyah mudah menangis?
Rabiah menjawab:
“Aku takut berpisah dengan Allah walau sedetik pun dan aku tidak boleh hidup tanpa
Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafasku yang
terakhir, jauhkan dia dari-Ku kerana dia
tidak layak berada di majlis-Ku.”
Antara doa Rabiatul Adawiyyah yang termasyhur ialah:
“Tuhanku, apa saja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku
berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa saja kebaikan yang Engkau
hendak kurniakan kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang
beriman. Kerana aku hanya hendakkan Engkau. Biarlah aku tidak dapat syurga atau
neraka. Aku hendak pandangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada-Mu ialah
sepanjang hayatku, berilah aku dapat mengingati-Mu dan apabila mati kelak
berilah aku dapat memandang-Mu."
Begitulah doa seorang wali Allah swt yang mana telah berserah diri kepada Allah swt dengan sepenuh hatinya. Dunia bukanlah tujuan utamanya kerana beliau begitu menginginkan pertemuan dengan Tuhannya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Comments
Post a Comment