Siti Khadijah Binti Khuwailid, Usahawan Dermawan

        

Siapa yang tidak mengenali srikandi Islam yang cukup hebat, Siti Khadijah Binti Khuwailid. Dilahirkan di Makkah tahun 68 sebelum hijrah. Siti Khadijah sangat terkenal dengan sifat peribadinya yang dermawan dan ketokohannya dalam bidang perniagaan sangat dikagumi oleh bangsa Arab Quraisy. Siti Khadijah terkenal dalam kalangan para sahabat sebagai pejuang dan srikandi yang sanggup berkorban harta dan jiwa raganya demi menegakkan syiar Islam.

Beliau juga merupakan cinta hati Rasulullah dan juga wanita pertama memeluk agama Islam. Walaupun Siti Khadijah dikurniakan harta yang melimpah-ruah, beliau masih menjalani hidup secara sederhana.Kekayaan tidak menjadikan Siti Khadijah seorang yang angkuh dan kedekut, namun dengan kekayaan menjadikan beliau seorang yang sentiasa bersyukur. Sikap inilah yang perlu dicontohi oleh setiap individu, kerana harta di dunia hanyalah pinjaman yang sementara.

Siti Khadijah merupakan seorang isteri yang sangat setia dengan Rasulullah. Tidak pernah mengenal erti penat dan jemu mendampingi Rasulullah dalam menegakkan panji kebenaran Islam. Sebagai seorang srikandi dan isteri, beliau sanggup berkorban jiwa dan harta serta rela menanggung segala risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam.Srikandi ini adalah ummul mukminin pertama dalam sejarah Islam yang bergelar wanita bangsawan dan hartawan yang gigih dalam perniagaan.

Sebagai seorang muslimah, berjaya dalam bidang perniagaan bukanlah satu perkara yang mustahil. Setiap muslimah perlulah mempunyai semangat dan tekad dalam diri supaya tidak berputus asa bagi menguasai sesuatu bidang. Bukan itu sahaja,setiap individu muslim perlulah menerapkan sifat suka membantu dan belas kasihan kepada setiap makhluk di atas muka bumi. Contohilah sifat dermawan Siti Khadijah. InsyaaAllah.


Comments

Popular posts from this blog

Srikandi Islam: Rabiatul Adawiyyah

Mujahadah An Nafs

Uwais al-Qarni Contoh Anak Soleh