Disebalik Isra' Mikraj


27 Rejab merupakan tarikh yang bermakna buat kaum muslimin dan muslimat sekalian alam. Tarikh tersebut merupakan tarikh yang bermakna buat baginda Rasulullah SAW; iaitu peristiwa Isra’ Mikraj. 

Secara mudahnya, Isra’ bermaksud perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam dari Masjid al-Haram yang terletak di Mekah ke Masjid al-Aqsa yang terletak di Palestin. Manakala Mikraj pula adalah perjalanan baginda dari Masjid al-Aqsa ke langit sampailah ke Sidratul Muntaha dan mendapat perintah dari Allah SWT untuk umat Muhammad bersolat.
Di dalam al-Quran, kisah Isra’ diceritakan secara jelas, manakala Mikraj pula diceritakan secara tersirat.

“Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haraam (Mekah) ke Masjid al- Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”
[Surah al Isra: 01]

Manakala Mikraj pula pada surah yang sama ayat ke-60

“Dan ingatlah ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam al-Quran; dan Kami bagi mereka rasa takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau”
[Surah al Isra: 60]

Sebenarnya sebelum terjadinya peristiwa Isra’ dan Mikraj, Nabi SAW telah mengalami 4 peristiwa besar yang menyebabkan baginda berasa sedih dan dukacita. Perkara pertama ialah bapa saudara yang paling disayangi oleh baginda; Abu Talib meninggal dunia. Belum sudah kesedihan itu, Rasulullah diuji lagi apabila isteri yang paling dikasihinya; Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia. Bayangkan sekiranya ujian seperti ini menimpa kita. Mampukah kita menghadapi dengan penuh keredhaan? Tepuk dada, tanya iman. Seterusnya, tindakan pihak Quraisy Mekah yang telah mengadakan perjanjian untuk memboikot orang-orang Islam di Mekah. Boikot ini berlaku dengan cara tidak menjual barang, tidak membeli barang dan tidak membuat sebarang urus niaga dengan orang Islam. Akibatnya, ramai orang Islam yang menderita. Peristiwa terakhir pula ialah sewaktu Rasulullah SAW berdakwah ke Thaif, dakwah Rasulullah tidak diterima malahan Nabi dibaling batu oleh penduduk Thaif. Subhanallah!

Itulah 4 peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah SAW sehingga digelarkan tahun itu tahun dukacita. Walau bagaimanapun, Allah SWT menjawab rintihan Nabi dengan satu perkara yang sangat istimewa iaitu terjadinya Isra’ Mikraj.

Kesimpulannya, peristiwa Isra’ Mikraj adalah satu peristiwa yang menguji keimanan kita kepada Rasulullah SAW. Sebagai umat Muhammad, kita kena percaya dan yakin dengan peristiwa ini kerana ia datang sendiri dari Rasulullah SAW dan tercatat di dalam al-Quran. Ia juga menjadi bukti bahawa Allah SWT mengangkat  martabat baginda Rasulullah SAW.

Allahualam.

Comments

Popular posts from this blog

Srikandi Islam: Rabiatul Adawiyyah

Mujahadah An Nafs

Uwais al-Qarni Contoh Anak Soleh