Syawal Dirai, Ramadhan Dirindui


Setelah sebulan umat Islam mengharungi ibadah puasa di bulan Ramadhan, Allah hadirkan satu bulan selepasnya yang dinamakan bulan Syawal. Bulan Syawal adalah bulan kemenangan bagi orang Islam setelah mana mereka berjaya berpuasa selama sebulan di samping melakukan ibadah untuk mendapatkan rahmat daripada Allah di bulan yang berkah.

Bulan Ramadhan adalah bulan tarbiah. Yang mana bulan yang berkah inilah kita umat Islam telah melakukan sebanyak mungkin amal ibadah kerana berharap ganjaran yang berlipat kali ganda dari Allah S.W.T. Kerana itu dinamakan tarbiah, mendidik umat Islam bersemangat dan bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah.

Oleh itu, diharap hasil tarbiah Ramadhan selama sebulan mampu untuk kita terus istiqomah meningkatkan amalan wajib seperti solat diawal waktu dan memperbanyakkan amalan sunat seperti membaca Al-Quran dan bersedekah. Dan semoga tarbiah Ramadhan yang baru sahaja dilalui ini memberi impak kepada peribadi muslim untuk kearah yang lebih baik. 

Para hukama' pernah berkata: “Setiap hari yang dilalui oleh seorang mukmin hendaklah lebih baik daripada hari-hari sebelumnya, jika sekiranya ia sama sahaja atau lebih buruk daripada hari-hari sebelumnya maka ia adalah sesuatu yang membawa kebinasaan”.

Muhasabah Diri

Jika dilihat harini, kebanyakan masyarakat kita menyambut Aidilfitri dengan hiburan dan keseronokan semata-mata. Sedangkan kita seharusnya muhasabah, adakah amal kita sepanjang bulan Ramadhan diterima Allah ? adakah kita sudah berpuas hati dengan ibadah kita ? adakah kita akan bertemu lagi Ramadhan akan datang ? Sama-sama kita renungkan.

Puasa Enam

Tidak hanya ibadah puasa terhenti di bulan Ramadhan, malah Rasulullah bersabda :


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ. رواه مسلم.

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” 
(Riwayat Muslim, hadis no: 1164)

Istimewanya kita umat Islam, jika kita beramal dengan hadis ini kita diibaratkan berpuasa seperti satu tahun. Maka rugilah andai tiada keuzuran, puasa kita terhenti pada bulan Ramadhan sahaja. 

Peristiwa Di Bulan Syawal
Kita sebagai umat Islam perlu tahu bahawa Bulan Syawal bukan sahaja bulan kemenangan bagi kita meraikan sebulan berpuasa, tetapi Bulan Syawal juga adalah bulan kemenangan bagi Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam siri peperangan yang kita boleh ambil ibrah dari peristiwa tersebut.
Antaranya Perang Ahzab, Perang Uhud, Perang Hunain, dan Perang Bani Qainuqa’.
Peperangan yang berlaku di Bulan Syawal ini telah mendapat pertolongan yang sangat besar dari Allah SWT untuk mengalahkan musuh dan memenangkan Islam.
Bagaimana Allah boleh membantu mereka? Sudah tentu dengan ketaqwaan serta kesanggupan mereka demi menegakkan dan meninggikan syiar Islam di muka bumi Allah ini.






Comments

Popular posts from this blog

Srikandi Islam: Rabiatul Adawiyyah

Mujahadah An Nafs

Uwais al-Qarni Contoh Anak Soleh