Apabila Niat Bukan Lagi Kerana Allah


Assalamualaikum

Kisah ini adalah satu kisah pengajaran yang mengajar kita kepentingan niat kerana Allah dalam melakukan sesuatu hal atau perbuatan terutamanya melakukan ibadah.

Hassan al-Basri mengisahkan bahawa dahulu ada sebatang pokok yang disembah oleh manusia. Pada suatu hari datang seorang lelaki yang ingin menebang pokok itu. Dia hendak menebangnya demi marah kerana Allah.

Ketika dia hendak menyembah pohon tersebut, datang syaitan dengan menyerupai manusia.
   "Engkau hendak buat apa?" tanya syaitan.

   "Aku hendak tebang pohon yang disembah selain Allah ini!" kata lelaki itu dengan cukup marah.

   "Jika engkau tidak menyembahnya, apa masalahnya dengan orang lain yang menyembahnya?    Biarkanlah sahaja mereka."

   "Aku tetap akan menebangnya demi marah kerana Allah!"

   Pergelutan berlaku antara mereka berdua sehingga lelaki itu berjaya mengalahkan syaitan jelmaan manusia.
  Syaitan membuat tipu daya:" Wahai saudara, tidakkah engkau mahukan sesuatu yang lebih baik?"

  "Apakah yang lebih baik bagi aku berbanding menebang pokok ini?"

   "Janganlah engkau tebang pokok ini, nanti engkau akan dapat 2 dinar setiap hari. Setiap kali engkau bangun tidur, akan ada 2 dinar di bawah bantalmu."
 
   "Siapalah yang hendak memberikannya kepada aku?"

   " Aku akan memberikannya kepadamu."


Lelaki itu pulang kerumahnya dan tidur. Keesokan paginya dia mendapati 2 dinar dibawah bantalnya. Lelaki tersebut sangat gembira melihat 2 dinar dan menanti hari esok.

Namun hari berikutnya, lelaki itu mendapati tiada lagi 2 dinar di bawah bantalnya. Dia pun marah. Sekali lagi dia pergi ke pokok itu untuk menebangnya. Syaitan menjelma dalam rupa manusia untuk berdepan lelaki itu.

    "Engkau hendak buat apa?"

    "Aku hendak menebang pohon yang disembah selain Allah ini!"

    "Bohonglah! Engkau tidak akan boleh."

    Lelaki itu mula menebang pokok, namun syaitan menghalang sehingga mereka bergelut. Kali ini syaitan berjaya mengalahkan lelaki tersebut bahkan dapat mencekiknya sehingga hampir mati.

  Syaitan berkata "Tahukah engkau siapa aku?"
  "Tidak."

 " Akulah syaitan! Kali pertama engkau datang demi marah kerana Allah. Jadi aku tidak mampu mengalahkanmu. Namun aku menghasutmu dengan duit lantas engkau tidak jadi menebang pokok ini. Maka pada kali kedua engkau datang sini demi marah kerana duit lantas aku dapat mengalahkanmu."

Pengajaran:
1. Laksanakan segera sehingga selesai amal baik yang diazamkan.
2. Jangan menangguhkan apa lagi mambatalkan niat membuat suatu kebaikan kerana mengharapkan peluang keduniaan.

Sumber:
Solusi edisi terhad, Kitab Talbis Iblis, Ibn Jawzi

Comments

Popular posts from this blog

Srikandi Islam: Rabiatul Adawiyyah

Mujahadah An Nafs

Uwais al-Qarni Contoh Anak Soleh