Nikmat Yang Sering Kita Alpa



Jika terdengar perkataan nikmat, apakah yang terbayang oleh kalian? 

Pastinya yang terbayang diminda kita ialah kemewahan harta benda, pangkat yang tinggi dan kehendak yang sentiasa berjaya dipenuhi. Kita sentiasa beranggapan kehidupan yang dipenuhi dengan keselesaan itu baru dipanggil nikmat. Sedangkan nikmat Allah swt begitu luas dan ternyata ada pada diri setiap insan kerana sesungguhnya Allah itu Maha Adil.

Jarang orang lihat kesusahan, keperitan, kesakitan dan kekurangan sebagai sebuah nikmat dari Sang Pencipta. Sedangkan didalam hadis Rasulullah SAW ada diriwayatkan bahawasanya dunia ini adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir. Ketahuilah wahai sahabat sekaliannya bahawa dunia dan seisinya hanyalah bersifat sementara dan persinggahan buat kita semua menyediakan bekalan ke alam sana (akhirat).

Pernah tak sewaktu celik saja dari tidur, kita terus melafazkan “Alhamdulillah aku masih bernafas”? Sekiranya pernah, Alhamdulillah kerana kalian tidak alpa akan nikmat yang dipinjamkan Allah swt kepada kita semua. Tetapi sekiranya tidak pernah melafazkan, semoga diusahakan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. 

Saya terkesan untuk mengupas tajuk nikmat kerana terbaca satu kisah seorang akhwat yang diuji dengan kekurangan fizikal. Akhwat ini ditarik sementara nikmat berjalan kerana terlibat dengan kemalangan. Beliau terpaksa berjalan dengan tongkat dan terhinjut-hinjut setiap hari ke kelas. Tambahan pula, hostel yang didiami tiada kemudahan lift maka beliau perlu mendaki dan menuruni anak tangga setiap kali hendak kemana-mana. Setiap kali ke kelas pula beliau akan membawa 6 atau 7 buah buku yang tebalnya beribu muka surat. Beliau sentiasa bersemangat untuk menuntut ilmu tanpa menghiraukan kekurangan upaya yang sedang dihadapi.

Jeda seketika kerana selama ini sering kita merungut mengeluh berjalan kaki ke sana sini walhal Allah swt memberi pinjam sepasang kaki yang sempurna. Mulai saat ini, sentiasa muhasabah diri dan latih untuk pandang nikmat didalam diri kita. Walaupun kita kekurangan fizikal, perlu diingat nikmat yang tidak mampu didustakan oleh kita sebagai seorang Muslim. Iaitu nikmat IMAN&ISLAM. Usah berkecil hati dengan kekurangan yang ada pada kita dan janganlah pula kita sombong dengan kelebihan yang kita ada kerana itu semua juga pinjaman dari Allah swt. Sampai waktunya nanti, semua akan dikembalikan kepada-Nya.

Benarlah kata Imam Syafie, jika hendak keluar dari kejahilan, merantaulah. Kerana tika itu kalian akan memperoleh ibrah yang cukup bernilai Allah kirimkan buat si penuntut ilmu yang bermusafir dari kampung halamannya.

Maka berapa banyak lagi masa yang kita perlu untuk sentiasa merasa syukur dengan nikmat-Nya?

Comments

Popular posts from this blog

Srikandi Islam: Rabiatul Adawiyyah

Mujahadah An Nafs

Uwais al-Qarni Contoh Anak Soleh